Susu ibu perahan boleh diberi kepada bayi bukan semata-mata menggunakan botol sahaja.

Pakar laktasi sering mengesyorkan para ibu yang bekerjaya untuk kurang menggunakan botol susu sebagai medium memberi perahan susu ibu kepada bayi sepanjang si kecil ditinggalkan dengan pengasuhnya di rumah atau di taman asuhan kanak-kanak. Hal ini disebabkan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan bayi keliru puting di mana secara tidak langsung akan merencatkan usaha anda menjayakan penyusuan susu ibu.

Jangan sesekali khuatir tentang penggunaan kaedah alternatif ini dalam memberikan susu ibu kepada bayi. Anda perlu faham bahawa terdapat banyak kaedah yang boleh digunapakai untuk membolehkan bayi anda mendapat bekalan susu ibu yang diperlukannya setiap hari. Ingat, dia tidak perlu hanya bergantung kepada botol susu. Apatah lagi, bermula seawal usia 50 hari, bayi sudah boleh diajar untuk minum susu ibu perahan melalui cawan, sudu mahupun picagari.

Amalan memberi susu ibu perahan menggunakan kaedah alternatif mungkin kelihatan payah untuk direalisasikan kerana ia memerlukan komitmen penuh daripada pengasuh. Namun, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Oleh yang demikian, anda perlu menyatakan hasrat murni kepada pengasuh seawal mungkin. Setelah persetujuan kedua-dua pihak dicapai, anda boleh mula menunjuk ajar pengasuh dalam mengendalikan proses penyusuan bayi menggunakan kaedah alternatif pilihan.

Namun yang demikian, sebelum mengajar pengasuh, diri anda sendiri seharusnya tidak kekok dalam memberikan susu ibu perahan kepada bayi. Beringatlah bahawa amalan sebegini tidak sukar tetapi ia memerlukan latihan yang berterusan agar anda dan bayi sama-sama mahir melakukannya.

Latihan Berterusan
Ketika berlatih memberikan susu ibu perahan, ada baiknya untuk anda meminta bantuan ahli keluarga yang lain. Hal ini kerana bayi sangat pintar. Dia pasti tidak mahu minum jika anda sendiri yang memberikannya kerana dia mahu menyusu terus daripada payu dara!

Bayi sememangnya bijak. Ketika latihan dilakukan, anda pasti teruja apabila melihat dia minum dan menelan susu ibu yang diberikan secara perlahan-lahan sehingga habis. Pada peringkat permulaan, pasti sedikit sebanyak ada susu yang tumpah. Oleh yang demikian, anda digalakkan untuk memakai pelapik kain untuk menghindar susu tertumpah (bib), tuala atau napkin ke dadanya.

Ada segelintir bayi mungkin memerlukan sedikit masa untuk belajar. Janganlah mengharapkan bayi anda mampu untuk menguasai kemahiran meminum susu melalui kaedah alternatif dalam masa yang singkat. Jadi, bersabarlah dan berdoa agar usaha anda dipermudahkan- Nya. Dalam pada itu, amat penting untuk anda dan bayi sama-sama berlatih secara berterusan.

Panduan Penggunaan Kaedah Alternatif
1. Perhatikan petunjuk bayi ingin menyusu (baby cues). Hanya berikan susu ibu perahan semasa dia sudah bangun daripada tidur. Jangan berikan ketika dia masih lagi dalam keadaan tidur-tidur ayam. Ikutilah baby cues. Jangan sesekali memaksa bayi untuk menyusu kerana dia akan beri petunjuk apabila berasa selesa dan bersedia melakukannya.
2. Apabila bayi sudah menunjukkan tanda-tanda bersedia untuk menyusu, isikan cawan, sudu atau picagari dengan 1 oz susu ibu perahan.
3. Sekiranya boleh, bedung bayi menggunakan kain bedung. Hal ini penting bagi mengelakkan tangannya bergerak dan mengenai alat alternatif yang anda pilih.
4. Posisi kan bayi pada kedudukan menegak dengan tangan di belakang lehernya. Pada masa yang sama pastikan bayi selesa dengan posisi ini.
5. Jika menggunakan cawan atau sudu, condongkannya ke bibir bayi. Biarkan dia menjilat sendiri susu itu dengan lidahnya. Bagi yang memilih untuk menggunakan picagari pula, anda hanya perlu picit kandungan susu ibu secara perlahan-lahan.
6. Pastikan bayi menelan susu ibu perahan. Oleh itu, jangan sesekali menuang susu terus ke dalam mulutnya.
7. Kekalkan kedudukan cawan atau sudu walaupun bayi berhenti seketika. Apabila sudah kenyang, bayi akan memusingkan kepalanya sebagai tanda dia tidak lagi mahu menyusu. Jadi, anda perlu berhenti dan sendawakan dia seperti biasa.