Setelah bayi dilahirkan, penjagaan tunggul tali pusat perlu diberi perhatian utama oleh ibu bapa. Walaupun cara penjagaannya nampak mudah, tetapi jika tidak berhati-hati ia boleh mengundang bahaya.

Tali pusat atau umbilical cord adalah saluran kehidupan bagi janin semasa dalam kandungan. Tali pusat bayi baru lahir berwarna putih kebiru-biruan. Setelah bayi anda dilahirkan, doktor akan menyepit dan memotong tali pusat bayi anda. Di tempat tali pusat melekat ke perut, terdapat baki atau tunggul yang tertinggal sepanjang 2cm ke 3cm.

Tunggul tali pusat bayi anda akan gugur sendiri lebih kurang seminggu selepas kelahiran. Apabila dia dilahirkan doktor akan menyemat tunggul itu dengan penyepit plastik atau mengikatnya. Doktor anda akan menanggalkan ikatan tersebut selepas sehari dua, apabila tunggul itu kering dan tertutup.

Ia akan mengecut, menjadi hitam dan gugur dengan sendirinya. Dalam pada itu akan terdapat luka kecil yang akan pulih dan menjadi pusat bayi anda.

1. Kelengkapan mesti ada sebelum cuci baki tali pusat bayi.
• Bekas air
• Bebola kapas
• Alkohol
• Putik kapas
• Kain barut bayi
• Lampin pakai buang

2. Basuh tangan dengan air yang bersih sebelum memegang bayi. Anda juga perlu pastikan tangan sentiasa bersih selepas menukarkan lampin bayi.

3. Dengan menggunakan bebola kapas, tuangkan sedikit alkohol yang diberi oleh pihak hospital. Usapkan pada bagian pangkal tali pusat termasuk daerah sekitarnya dan lipatan-lipatan pusar dengan perlahan. Lakukan dua kali sehari.

4. Kemudian sapu pada pangkal tunggul tali pusat bayi anda. Pastikan sekeliling tali pusat disapu dengan cecair itu. Lakukan dengan perlahan. Sebelum itu, pastikan tali pusat bayi dalam keadaan kering jika anda baru sahaja memandikannya.

5. Anda juga boleh menggunakan putik kapas untuk meratakan antisepktik di sekeliling baki tali pusat bayi. Dalam pada itu jika baki tali pusat itu terkena air kencing atau najis, basuh dengan berhati-hati dengan pencuci bayi pH neutral. Ia untuk mengelak sebarang jangkitan kuman kepada baki tali pusat bayi anda.

6. Setelah selesai menyapu antiseptik, pastikan barut bayi tidak mengenai tali pusat. Juga pastikan keliling tunggul pusat sentiasa bersih dan kering sebelum memakai barut.

7. Begitu juga dengan penggunaan lampin pakai buang. Gunakan lampin khas untuk mengelak tali pusat bayi ditutup (Yang ada lengkukan dibahagian hadapan lampin). Juga jangan lupa selepas dimandi pastikan tali pusat dikeringkan dengan bebola kapas. Biarkan tali pusat kering seketika sebelum memakaikan lampin dan pakaian.

8. Pastikan tunggul tali pusat tidak ditutup rapat oleh barut bayi atau lampin pakai buang. Jika kawasan itu menjadi lembab, ia memudahkan berlaku jangkitan. Ia akan lebih cepat kering dan sembuh jika sering terkena udara.

9. Adik sudah siap! Pastikan pakaian si kecil longgar supaya tidak menganggu pengaliran udara di seliling tunggul tali pusat bayi.

Tanda-tanda tunggul tali pusat telah dijangkiti :
1. Deman panas,
2. Lesu
3. Tidak mahu menyusu susu ibu
4. Tunggul tali pusat di sekelilingnya menjadi bengkak, busuk atau bernanah.
* Segera dapatkan rawatan di klinik berdekatan.

Penulis pernah mendengar cerita daripada seorang teman mengenai seorang nenek telah mengunting tunggul tali pusat cucunya yang hampir tertanggal iaitu yang hanya tinggal selembar benang. Akibat tindakan itu menyebabkan pendarahan berlaku di bahagian tunggul tali pusat bayi itu. Ekoran dibiarkan berlarutan beberapa hari ia telah menyebabkan kematian kepada cucunya. Oleh itu, nasihat penulis dalam soal penjagaan tali pusat ini lakukan penuh berhati-hati supaya tiada sebarang jangkitan berlaku dan biarkan ia tertanggal sendiri kerana ia berkaitan dengan sistem saluran darah bayi itu.